CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Saturday, March 26, 2011

Hari Ulang Tahun (HUT) Tentera Darat ke 78 Meriah

Kuala Lumpur 'Diserang' Tentera Darat

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my


IBU kota Kuala Lumpur baru-baru ini bertukar menjadi 'medan perang' apabila bandar metropolitan itu 'diserang bertubi-tubi' oleh kereta kebal, kereta perisai, pelancar roket berganda ASTROSS, helikopter peninjau (LOH) dan pelbagai aset tempur Tentera Darat.

SEORANG pengunjung, Nur Ezzah Yahuda, 15, mencuba penembak
pesawat udara Misile FN-6 sambil diterangkan oleh Koperal Mazlan
Manan daripada Rejimen Askar Melayu Diraja Ke-5 (RAMD) pada
Hari Terbuka Tentera Darat di Dataran Merdeka.
Keadaan itu mengejutkan ramai warga kota kerana selama ini, mereka begitu asing dengan deruan helikopter yang terbang rendah, 'serbuan' puluhan kereta kebal PT-91M selain bingit bunyi letupan dan tembakan daripada Unit Anti Keganasan, Grup Gerak Khas (GGK).

'Serbuan' tersebut yang bermula pada pukul 8 pagi hanya berakhir tiga jam kemudian apabila GGK berjaya 'mematahkan' tindakan pihak pengganas menawan sekumpulan rakyat Malaysia di dalam sebuah bas bagi tujuan 'mengugut' kerajaan yang dipilih secara sah.

GGK yang dibantu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) dengan menggunakan helikopter Agusta A-109 LOH hanya mengambil masa tidak sampai dua minit bagi membebaskan kesemua tebusan dan pada masa yang sama, menembak mati kesemua penyangak yang cuba menggugat keamanan negara.

Drama mencemaskan itu merupakan sebahagian daripada demonstrasi kecekapan, ketangkasan serta kesiapsiagaan Tentera Darat sebagai cabang utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menghadapi sebarang kemungkinan peperangan pada masa hadapan.

Demonstrasi yang julung-julung kalinya memaparkan kesemua aset tempur Tentera Darat itu dilakukan sempena sambutan Hari Tentera Darat Ke-78 di Dataran Merdeka baru-baru ini bagi meyakinkan rakyat bahawa keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Hakikat tentang keupayaan unit bersenjata negara itu diakui sendiri oleh 30,000 rakyat Malaysia yang memenuhi Dataran Merdeka sejak awal pagi, sebaik sahaja mereka melihat dengan sendiri kesemua aset tempur Tentera Darat yang selama ini diklasifikasikan sebagai sulit.

Lebih membanggakan, kemampuan Tentera Darat turut dikagumi oleh puluhan Atase Pertahanan negara asing yang dijemput sebagai tetamu VIP apabila mereka secara serentak berdiri bagi memberi tepukan sebaik sahaja GGK memperlihatkan aksinya.

Acara itu dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin serta Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd. Zain.

Menurut Ahmad Zahid, kesemua demonstrasi yang pertontonkan sama ada yang bersifat statik mahu pun tempur adalah bertujuan merakyatkan Tentera Darat iaitu mendekatkan perkhidmatan tersebut dengan masyarakat dan bukan bertujuan menakutkan rakyat.

"Aset yang dipertontonkan, digunakan Tentera Darat dalam apa juga keadaan untuk mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Saya harap rakyat jangan salah tafsir sambutan hari terbuka yang kali pertama diadakan ini.

"Tujuannya hanya untuk memperlihatkan semua aset Tentera Darat kepada orang ramai dan ia satu petanda tentera akan terus mempertahankan negara dalam apa juga keadaan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia
post signature

2 comments:

Anonymous

gambar tu anggota Rejimen Artileri Diraja (RAD).. hai utusan malaysia.. fakta kekadang menyeleweng la.. main bubuh ikut sedap je RAMD. hehehehehehe

xxx

main letak je nama kor tu..nampak sgt tak ambil tahu...kpl tu my ex anggota..

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)