CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, March 29, 2011

Fakulti Pertahanan Bakal Ditubuhkan di IPT

KEMENTAH Cadang Tubuh Fakulti Pertahanan di UiTM


2011/03/28
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mencadangkan penubuhan Fakulti Industri Pertahanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) seluruh negara bagi menambah tenaga kerja tempatan yang pakar dalam bidang itu.

Cadangan itu telah diusulkan dalam Mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Malaysia (MIDES) hari ini yang dipengerusikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid berkata, kini terdapat banyak industri pertahanan tempatan di buka sehingga menyebabkan kurangnya tenaga kerja yang diperlukan dalam membangunkan industri tersebut.

"Kita tidak cukup tenaga kerja dan mustahil kita mahu mengambil tenaga daripada luar untuk memperkuatkan industri pertahanan kita sebab ini adalah sesuatu yang penting dan saya tidak fikir tenaga luar sesuai untuk digunakan bagi membangunkan industri pertahanan kita," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Dr Ismail Ahmad, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin dan Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin.

Ahmad Zahid berkata, UiTM dipilih berdasarkan kredibiliti dan kapasiti yang terdapat pada institusi itu, dimana ia bakal mempunyai kira-kira 200,000 pelajar pada masa depan.

Katamya, pelajar fakulti itu akan dilatih dari segi akademik dan praktikal mengenai pertahanan.
"Pelajar-pelajar akan dikhususkan kepada penyelenggaraan dan membaikpulih dalam industri pembuatan kapal tentera laut dan juga dalam industri untuk peralatan atau aset bagi tentera darat," katanya.

Beliau berkata, cadangan penubuhan fakulti itu juga telah dikemukakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini dan ia disambut baik.

"Kita telah berbincang dengan KPT dan mereka sedang melakukan beberapa kajian terhadap cadangan itu. Mesyuarat hari ini dapat memperkuatkan lagi supaya pihak UiTM dan KPT merealisasikan penubuhan fakulti ini," katanya.

Mesyuarat MIDES adalah platform bagi membincangkan status terkini perkembangan program industri pertahanan tempatan serta laporan dari enam Kumpulan Kerja MIDES.

Ia dihadiri 27 wakil pelbagai Agensi Kerajaan dan 38 wakil syarikat industri pertahanan tempatan dalam Kumpulan Kerja Persenjataan dan Kumpulan Barangan Guna Sama. - BERNAMA

post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)