MTD Latih Pemimpim Masa Hadapan
SESUAI dengan motonya Rumah Kepada Pemimpin Masa Hadapan, Maktab Tentera Diraja (MTD) telah berjaya melahirkan ramai golongan pemimpin sama ada dalam bidang ketenteraan mahu pun bidang lain seperti pengurusan dan ekonomi.
Sejak ditubuhkan pada 1952, MTD telah menjadi kilang penghasilan bakat-bakat muda yang mempunyai ciri kepimpinan berkualiti selaras dengan kehendak negara.
Malah para putera MTD yang terdiri daripada pelajar tingkatan empat dan lima juga sering mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan terutamanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Maktab yang hanya didiami oleh pelajar lelaki dan terhad kepada 50 orang pada sesuatu pengambilan itu telah banyak melakar sejarah tersendiri sejak mula ditubuhkan.
MTD menjadi impian bagi segolongan pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran dalam suasana kehidupan ala ketenteraan di negara ini.
Baru-baru ini sempena perbarisan tahunan putera MTD 2010 untuk meraikan putera-putera tingkatan lima MTD yang telah tamat pengajian, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Azizan Ariffin memuji pencapaian yang telah dikecapi oleh putera-putera MTD sejak ia ditubuhkan dan mahu pencapaian cemerlang itu diteruskan.
Katanya, Putera MTD bakal menjadi pemimpin yang akan mencorak masa hadapan negara dan seharusnya berasa bangga kerana berpeluang merasai suasana pembelajaran di maktab tersebut.
"Justeru saya berharap putera-putera ini akan menggunakan ilmu yang telah dipelajari di sini untuk membantu meningkatkan kemajuan negara, bukan sahaja dalam bidang pertahanan malahan bidang-bidang lain seperti ekonomi, sukan dan lain-lain.
"Perkara ini tidak mustahil dilakukan berdasarkan pada pencapaian cemerlang putera-putera MTD dalam bidang pelajaran dan juga sukan," katanya.
Azizan berharap Putera MTD yang telah tamat pengajian di maktab tersebut memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang ketenteraan dengan menyertai Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menurutnya, dalam usaha menggalakkan lagi penyertaan bekas pelajar MTD terus menceburi bidang ketenteraan, UPNM telah menawarkan dua kursus baru iaitu bidang pengajian dan pengurusan pertahanan serta bidang perubatan dan kesihatan pertahanan.
"Saya berharap lebih ramai lagi kalangan pelajar MTD menyertai UPNM kerana berdasarkan statistik pada 2009, hanya 25.7 peratus lepasan MTD mengikat kontrak dengan Kementerian Pertahanan sedangkan mereka mendapat peruntukan kuota khas dalam aspek ini.
"Selain itu, indeks semasa juga menunjukkan bahawa jaminan kewangan dan pekerjaan di institusi ketenteraan adalah lebih baik berbanding menuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang lain. Jadi rebutlah peluang ini," katanya.
Sumber - Utusan Malaysia
1 comments:
Salam.
Saya ibu kepada Mohd Shazaruddin yg baru sahaje mendapat keputusan peperiksaan SPM hari ini (20.03.2014)..
Saya ingin bertanya apakah syarart2 kemasukkan dan bagaimana hendak apply ke MTD..
Sekian terima kasih.
Noriza
Post a Comment
Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)