CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Tuesday, January 11, 2011

Teruskan Misi Lebanon

Malbatt 3 Teruskan Misi Lebanon.


Oleh RAIS YEOP JOHARI
rais.johari@kosmo.com.my

Suasana Majlis Perbarisan Penyerahan Bendera Malaysia dan 
Pemakaian Beret PBB kepada Malbatt 3 di Pusasda baru-baru ini.
PASUKAN Batalion Malaysia 3 (Malbatt 3) yang akan meneruskan kesinambungan peranan Malbatt di bawah panji-panji Pasukan Interim Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) untuk tugas menjaga keamanan membuktikan profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mata dunia.

Tahap profesionalisme ATM telah lama diakui dan menerima pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak diberi tanggungjawab menerusi misi menjaga keamanan yang pertama di Congo pada tahun 1960 sehingga 1963.

Sejak dari itu, negara menerusi ATM terus komited dalam beberapa siri keamanan di bawah panji-panji PBB melaksanakan tanggungjawab.

Antara misi pengaman yang melibatkan ATM sejak 1960 adalah; Operasi PBB di Congo (UNOC), Kumpulan Pemerhati Tentera Iran-Iraq (UNIIMOG) 1988, Misi Pemerhati Iraq-Kuwait (UNIKOM) 1991, Pejabat Setiuasaha Agung PBB di Iraq (UNOSGI) 1991, Misi Pengesahan Angola II PBB (UNAVEM II) 1991, Kumpulan Bantuan Peralihan PBB di Namibia (UNTAG) 1989 dan Misi Hadapan PBB di Kampuchea (UNAMIC) 1991.

Kumpulan pertama Malbatt 3 yang akan ke Lebanon memulakan misi mereka pada 20 Januari ini bagi menggantikan Malbatt 2. Kumpulan itu melibatkan 300 anggota manakala kumpulan kedua pada 27 Januari membabitkan 140 anggota manakala selebihnya akan tiba pada bulan Mac depan.

Kehadiran mereka di negara bergolak itu begitu dinanti kerana kehadiran pasukan-pasukan terdahulu dari Malaysia telah berjaya memainkan peranan besar bukan sahaja sebagai tentera pengaman di bawah Unifil malah banyak membantu penduduk tempatan.

Misi diteruskan

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, bagi menjayakan misi Unifil, seramai 62 pegawai dan 588 anggota dari ATM serta Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDM) turut menyertai Malbatt 3 yang akan meneruskan misi berkenaan.

“ATM telah memberi persetujuan kepada Unifil untuk meningkatkan lagi kekuatan pasukan Malaysia di Lebanon dengan penambahan sebanyak 210 termasuk 110 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Rodzali (berdiri, dua dari kiri) memeriksa perbarisan dari dalam kenderaan rasmi.

“Penambahan ini dibuat berdasarkan permohonan oleh kerajaan Lebanon yang masih memerlukan sokongan dari PBB bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran di negara itu,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perbarisan Penyerahan Bendera Malaysia dan Pemakaian Beret PBB kepada Malbatt 3 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson di Negeri Sembilan baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Panglima Tentera Udara, Tan Sri Rodzali Daud.

Menurut Azizan, Malbatt 3 akan dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk ditempatkan di tiga lokasi di Lebanon iaitu Harris, Tibnin dan Brasit.

Kata beliau, sebagai persiapan ke Lebanon kesemua anggota Malbatt 3 telah menjalani latihan integrasi pasukan atau dikenali dengan Force Intergration Training (FIT) selama tiga bulan di Pusasda.

“Latihan ini memberi ruang persediaan bagi menghadapi cabaran semasa melaksanakan tugas termasuklah iklim yang sentiasa berubah di Lebanon.

“Antara cabaran lain yang perlu dipertimbangkan adalah dari segi keselamatan memandangkan bentuk muka bumi di sana adalah berbeza dengan Malaysia selain amalan hidup dan perbezaan budaya,” katanya.

“Saya berharap supaya kesemua anggota dapat mebina tali silaturahim serta permuafakatan dengan masyarakat setempat supaya kehadiran pasukan nanti diiktiraf dan disenangi semua,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Undang-Undang dari Pasukan Gerak Khas, Mejar Valzahmer Elrino Mohd. Tahir, 32, yang menyertai Malbatt 3 memberitahu, beliau berasa bangga apabila diberi tanggungjawab mengikuti misi Unifil.

Katanya, beliau berazam dan komited menjalani misi tersebut dan berharap semua akan berjalan dengan lancar serta tidak timbul masalah.

“Kini kali pertama saya menyertai misi PBB untuk Unifil. Misi ini dijangka dilaksana selama setahun dan berharap ia akan berjaya tanpa ada sebarang masalah yang besar,” ujarnya.

Wakil ABDM, Mejar Abd. Kadir Mahmor, 39, yang turut kali pertama menyertai misi PBB berkata, beliau berharap semua anggota Malbatt 3 akan dapat melaksana misi keamanan di Lebanon dengan terbaik.

“Ini merupakan tanggungjawab dan amanah yang besar dalam meneruskan misi ini. Sebagai pasukan yang meneruskan kesinambungan ini kita berharap akan mengekalkan tahap profesionalisme di Lebanon kelak,” ujarnya.
post signature

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)