CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, July 8, 2010

Profile Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat

1079294 PEGAWAI WAREN I MUSA BIN HARON
BAT BSD usasma (USA)
Beliau dilahirkan pada 17 September 1968 di Kampung Seberang Prai, Masjid Tanah, Melaka. Telah memasuki perkhidmatan Tentera Darat Malaysia pada 23 Jun 1989 dan seterusnya berkhidmat di Batalion Ketigabelas Regimen Askar Melayu Diraja. Disepanjang perkhidmatan, beliau telah menunjukkan sikap dedikasi dan ketekunan kerja yang tinggi dan berusaha dengan gigih untuk meningkat maju dalam kerjaya ketenteraan. Hasil dari kesungguhan dan dedikasi yang telah beliau tunjukkan, dalam tempoh 19 tahun beliau telah berjaya menyandang jawatan sebagai Rejimen Sarjan Mejar Tentera Darat.


Pegawai Waren Satu Musa bin Haron telah memegang beberapa jawatan disepanjang tempoh perkhidmatan. Diantaranya adalah Lans Koperal/Koperal Tambor di 13 RAMD, Ketua Seksyen (BIS) di 13 RAMD, Penolong Ketua Platun di 13 RAMD, Penolong Jurulatih Pegawai Cawangan Ketua Platun di PULADA, Jurulatih Kawad di IPDA, Sarjan Mejar Rejimen Istiadat di 1 RAMD dan Sarjan Mejar Rejimen di PULADA. Pada tanggal 7 Julai 2008, beliau telah diberi kepercayaan dan mandat oleh pucuk pimpinan untuk menjawat jawatan Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat hinggalah sekarang.

Kursus-kursus yang beliau telah hadiri di sepanjang tempoh perkhidmatan adalah Kadar Pasukan (13 RAMD), Asas Brass Band (PUZIDA), Ketua Seksyen (PULADA), Kawad dan Pentadbiran Sarjan Platun (IPDA), Platun Sarjan Decentralized (3 RAMD), Senjata Kecil PTT (PULADA), Penataran Jurulatih (PULADA), Kawad dan Pentadbiran Sarjan Mejar Kompeni (IPDA), Kawad dan Pentadbiran Pegawai Waren (IPDA), American Language Course dan U.S Army Sergeant Major di Texas, USA. Kesemua kursus yang beliau telah hadiri memperolehi keputusan yang cemerlang dan membanggakan.

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Puan Salina bt Ahmad. Sepanjang perkongsian hidup, mereka telah dikurniakan empat cahaya mata iaitu dua lelaki dan dua perempuan. Di masa lapang hobi beliau adalah mendengar muzik dan melayari internet. Bagi aktiviti sukan pula beliau amat meminati badminton dan bola tampar.

Di dalam jawatan ini beliau bertindak sebagai penasihat kepada Panglima Tentera Darat di atas segala arahan dan polisi yang wujud ataupun cadangan yang melibatkan peraturan perkhidmatan anggota Lain Lain Pangkat. Beliau juga bertindak sebagai penasihat kepada susunan acara Istiadat Perbarisan Rasmi Tentera Darat seperti Penganugerahan, Pertukaran dan Mengarak Panji-Panji, Perbarisan Pentauliahan Pegawai-Pegawai Kadet di Kolej Tentera Darat dan PALAPES, Istiadat Pengkebumian Kebangsaan (National Funerals) dan Perbarisan Hari Kebangsaan. Sebagai Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat beliau juga bertanggungjawab sebagai penasihat istiadat dan penyelaras dalam semua perbarisan di semua formasi, pusat latihan dan pasukan.

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)