CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Thursday, July 8, 2010

Menyapu Khuf

Menyapu khuf ialah satu rukhsah atau kemudahan yang diberikan oleh Islam kepada seseorang Muslim yang ingin mengambil wudhu' atau air sembahyang.

Seseorang itu tidak perlu membuka khufnya untuk membasuh kaki semasa berwudhu' tetapi cukup dengan menyapu bahagian atas khuf tersebut.

Imam Nawawi r.a. berkata, para 'ulama' telah bersepakat membolehkan menyapu khuf samada seseorang itu berada dalam musafir ataupun tidak, disebabkan sesuatu kepentingan.

Apa itu khuf?

Khuf ialah sesuatu yang menutup kedua kaki. Dalam hal ini, bolehlah diertikan sebagai kasut. Namun kalau diteliti punca yang menyebabkan pemakaian kasut, maka pengertian khuf tidak hanya terbatas pada kasut sahaja. Umumnya fungsi kasut ialah untuk melindungi kaki dari kedinginan kerana sejuk, dari terluka dan sebagainya.

Oleh itu segala bentuk pakaian untuk kaki yang mengambil fungsi-fungsi tersebut adalah juga termasuk dalam pengertian khuf. Pembalut kaki seperti stokin juga menetapi fungsi-fungsi pemakaian khuf.

Imam Ibnu Taimiyyah berkata: "Yang benar ialah boleh menyapu pembalut kaki itu. Bahkan menyapunya lebih penting dari kasut dan kaus kaki, kerana kebiasaannya pembalut itu dipakai kerana ada kepentingan hingga berbahaya bila dibuka yang adakalanya ditimpa kesejukan, melecet atau luka menjadi parah. Maka seandainya dibolehkan menyapu kasut maka menyapu pembalut adalah lebih utama."

Syarat Khuf


1. Hendaklah menutupi bahagian kaki sehingga ke atas buku lali.
2. Ia mestilah cukup tebal dan tidak terlalu nipis atau terkoyak sehingga boleh menampakkan kulit di bawahnya.
3. Dipakai dengan sebab-sebab yang disyariatkan
4. Hendaklah dalam keadaan berwudhu' yang sempurna sebelum memakai khuf.

Tempat Menyapu @ Tempat yang disyari'atkan untuk menyapu ialah bahagian atas khuf tersebut.

Dari Mughirah r.a. katanya; "Aku lihat Rasulullah s.a.w. menyapu bahagian atas kasut." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tarmizi)

Dan yang diwajibkan dalam menyapu ialah sekadar apa yang disebut sebagai menyapu dari segi bahasa tanpa ada batasan. Oleh itu cukup hanya dengan mengusap sedikit air ke bahagian atas khuf.

Lama Berlakunya Jangkawaktu bagi menyapu khuf bagi orang yang tidak bermusafir ialah selama sehari semalam. Manakala bagi mereka yang berada dalam musafir, lama berlakunya ialah selama 3 hari 3 malam.

Dari Syuraij bin Hani' r.a. berkata; "Aku bertanya kepada Aisyah tentang menyapu khuf, maka ujarnya; Tanyalah pada Ali kerana lebih mengetahui hal itu daripada aku. Lalu aku bertanya pada Ali, maka ujarnya; Telah bersabda Rasulullah s.a.w.; 'Bagi musafir ialah 3 hari 3 malam, sedangkan bagi yang bermukim(tidak bermusafir), ialah sehari semalam." (Riwayat Ahmad, Muslim, Tarmizi, Nasai dan Ibn Majah)

Kemudahan menyapu khuf akan terbatal disebabkan:-

1. Habis tempoh waktunya
2. Berjunub
3. Membuka khuf tersebut ( Dalam hal ini seseorang hendaklah memperbaharui wudhu'nya semula dengan sempurna iaitu termasuk membasuh kaki sebelum memakai khuf itu semula). Bagi yang berjunub hendaklah mandi wajib terlebih dahulu.

0 comments:

Post a Comment

Tinggalkan sebarang komen disini, terima kasih.
(Sila guna nama sebenar anda ataupun nama yang boleh dikenali oleh kesemua anggota AW UIAM.)